KRISIS di Yemen yang berpunca daripada konflik berpanjangan antara kerajaan dan pemberontak Houthi memberikan kesan amat dahsyat kepada kehidupan rakyatnya sejak 2014.
Lebih dua juta rakyat Yemen terpaksa melarikan diri manakala 14 juta lagi penduduk kelaparan akibat perang itu yang mengakibatkan kematian orang awam meningkat sehingga 164 peratus ekoran peningkatan keganasan, sejak beberapa bulan lalu.
Setiap keluarga boleh dikatakan bukan sahaja bergelut untuk meneruskan hidup malah mereka turut berdepan masalah penularan wabak taun dan pelbagai penyakit berjangkit lain ketika risiko kebuluran semakin meningkat.
Menurut Program Pemakanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), angka kebuluran penduduk bertambah daripada 6.8 juta orang pada Mac 2017 kepada 14 juta orang tahun ini.
Ini bermakna, hampir separuh daripada 29.3 juta penduduk Yemen mempunyai sedikit makanan dan mereka selangkah lagi menuju ke kancah kebuluran jika masalah itu tidak ditangani.
Malah, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) berkata, seorang kanak-kanak di Yemen maut setiap 10 minit akibat penyakit yang boleh diubati dan separuh daripada kanak-kanak negara ini berdepan kekurangan zat makanan.
Pada masa sama, kekurangan zat makanan memberi kesan kepada 1.8 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan kira-kira satu pertiga daripada daerah di Yemen berisiko terjerumus ke kancah kebuluran.
Keadaan itu diburukkan lagi apabila tentera perikatan diketuai Arab Saudi cuba merampas semula pelabuhan utama negara ini di Hodeida daripada cengkaman Houthi sekali gus menyukarkan bekalan makanan untuk sampai kepada rakyat Yemen.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 10,000 penduduk Yemen terbunuh akibat konflik itu yang tercetus sejak 2015 manakala kumpulan hak asasi manusia menganggarkan angka kematian sebenar adalah lima kali ganda lebih tinggi.
Oleh itu perlu ada usaha segera daripada PBB dan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan krisis kemanusiaan yang dahsyat itu dan mereka perlu mengambil langkah segera dan penuh tanggungjawab bagi mengembalikan keamanan di negara terbabit.
Selain itu, sebagai penyelesaian politik terhadap krisis tersebut, satu pungutan suara bagi merangka Perlembagaan baharu perlu dibuat di samping mengadakan pilihan raya Parlimen dan Presiden di bawah seliaan PBB bagi memastikan peralihan kuasa yang sah dan aman.
Bagi berlaku adil, sebuah tribunal antarabangsa mengenai Yemen perlu ditubuhkan dengan mengambil kira semua jenayah yang dilakukan oleh pihak tempatan dan antarabangsa dalam konflik itu.
Menurut pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Tawakkol Karman berkata, Riyadh dan Abu Dhabi perlu segera menghentikan campur tangan tidak bermanfaat mereka di Yemen dan menghentikan menyokong kumpulan pengganas dengan memberikan mereka senjata.
Langkah itu didakwa mengakibatkan ramai penduduk Yemen khasnya di Aden dan Taez terbunuh.
Bukan sahaja Riyadh, pemimpin Iran juga perlu menghentikan usaha untuk menguasai Yemen dengan memberikan sokongan kepada Houthi.
Selepas bertahun-tahun penderitaan rakyat Yemen tidak diendahkan, sudah tiba masa bagi masyarakat dunia bersuara mempertahankan nasib mereka kerana jika dibiarkan, adalah dikhuatiri lebih ramai penduduk terkorban.
Pada masa sama, mungkin Arab Saudi yang mengetuai tentera perikatan memerangi pemberontak Houthi perlu mempertimbangkan cadangan menghentikan penggunaan senjata di Yemen memandangkan sudah terlalu lama diambil untuk menewaskan kumpulan tersebut dan kerugian dari aspek kos senjata dan kehilangan nyawa penduduk negara itu sendiri.
Biarlah konflik di Yemen diselesaikan menerusi pendekatan politik yang diselia PBB sekali gus menghentikan pertumpahan darah dan mengembalikan kehidupan rakyat kepada keadaan aman sejahtera.










