IPOH 8 Nov. – Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Munaim yang dikecam ekoran perbuatannya bergambar dengan trofi Piala Malaysia dalam keadaan tidak sepatutnya akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.
Begitupun beliau menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi kerana mahu memberikan tumpuan terhadap tugasnya sebagai Exco Kerajaan Negeri dan karier politiknya.
“Namun saya tidak menafikan keputusan ini juga disebabkan desakan daripada penyokong tetapi bukan 100 peratus. Saya telah menilai kehidupan saya seminggu dua ini, tumpuan dalam kerjaya saya sedikit terganggu.
“Dalam tempoh sehari dua ini saya fikir saya perlu melakukan sesuatu, sukan ini perlu diteruskan dengan suasana yang sihat, tidak ada unsur-unsur cuba menyakiti pihak lain lalu saya membuat keputusan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pafa di sini hari ini.
Menurutnya, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi dalam tempoh terdekat kepada Pafa untuk exco persatuan membuat keputusan.
Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemain Perak bakal menerima dua insentif daripada kerajaan negeri ekoran kejayaan mereka memenangi Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu.
“Saya percaya pemain akan berasa amat gembira dengan insentif yang akan diberikan itu setelah mereka membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya.











