Harimau pemakan manusia mati ditembak di India - Utusan Malaysia

Harimau pemakan manusia mati ditembak di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI – Seekor harimau pemakan manusia yang telah membunuh berpuluh-puluh mangsa dalam tempoh dua tahun telah ditembak mati di India, sehingga mencetuskan kontroversi ke atas kewajaran pembunuhan tersebut.

Salah satu operasi pemburuan harimau berprofil tinggi di India dalam tempoh beberapa dekad itu telah berakhir pada malam kelmarin apabila ibu kepada dua ekor anak harimau berusia 10 bulan, yang dikenali dalam kalangan pemburu sebagai T1 tetapi pencinta hidupan liar menggelarnya sebagai Avni, telah ditembak mati di hutan negeri Maharashtra.

Satu pasukan yang terdiri daripada lebih 150 orang telah menghabiskan masa selama berbulan-bulan bagi mencari T1, menggunakan paraglider dan berpuluh-puluh kamera inframerah manakala para penembak tepat pula menunggang kawanan gajah.

Bagaimanapun, pertikaian hebat meletus selepas pembunuhan itu apabila laporan media mengatakan bahawa harimau tersebut ditembak di hutan Yavatmal tanpa cubaan untuk membiusnya.

Mahkamah Agung India telah mengeluarkan perintah pemburuan pada bulan September lalu ke atas T1 yang didakwa bertanggungjawab menyebabkan 13 kematian sejak bulan Jun 2016 dan memutuskan bahawa haiwan pemangsa itu boleh dibunuh jika ia gagal ditenangkan. Beberapa rayuan dibuat terhadap hukuman mati.

Harimau itu dibunuh pada waktu malam, apabila ubat penenang tidak dibenarkan digunakan, menurut akhbar Times of India dan agensi media lain.

T1 dikatakan telah ditembak mati oleh Ashgar Ali Khan, anak lelaki pemburu India pa­ling terkenal, Nawab Shafath Ali Khan, yang sepatutnya mengetuai operasi pemburuan tersebut tetapi tidak hadir pada malam kelmarin.

Pihak berkuasa perhutanan dan pemburu tidak menjawab panggilan telefon untuk memberi butiran mengenai pemburuan itu.

Ketua Konservator Utama Hutan, A.K. Mishra memberitahu akhbar The Indian Express bahawa seorang pekerja hutan telah berjaya menembak ubat penenang ke atas harimau tersebut kira-kira pukul 11 malam.

“Tetapi ia menyerang pasukan tersebut, memaksa Ashgar untuk menembaknya bagi mempertahankan diri. Harimau betina itu mati dengan sekali tembakan,” katanya. 
– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN