Harimau Malaya mula buru Piala AFF esok - Utusan Malaysia

Harimau Malaya mula buru Piala AFF esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya membawa pulang tiga mata berharga daripada perlawanan pembukaan kempen Piala AFF menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh Khamis untuk memudahkan laluan mereka layak ke peringkat seterusnya.

Cheng Hoe, yang berlepas ke Phnom Penh bersama 23 pemain hari ini, mengakui cabaran lebih sukar bakal ditempuhi skuad negara apabila berdepan skuad kendalian bekas bintang Jepun, Keisuke Honda itu meskipun Harimau Malaya melakar kemena­ngan 3-1 dalam perlawanan persahabatan 10 September lalu.

“Sebelum ini kita telah menentang Kemboja dan pengalaman itu penting buat pemain. Tetapi perlawanan kali ini sama sekali berbeza kerana melibatkan mata untuk ke peringkat seterusnya.

“Lawan sudah pasti lebih bersedia, dan pastinya perlawanan pertama bukan mudah untuk mana-mana pasukan apatah lagi bermain di laman lawan yang bakal dipenuhi penyokong mereka nanti, selain bermain di atas rumput sintetik,” katanya.

Malaysia akan beraksi de­ngan misi memburu gelaran juara selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2010, selepas itu layak ke final pada 2014 sebelum tumpas kepada Thailand menerusi agregat 4-3.

Di atas kertas, dalam persaing­an Kumpulan A Vietnam dan Myanmar merupakan pencabar terkuat manakala Kemboja dan Laos boleh menjadi pengacau kepada peluang skuad negara untuk ke separuh akhir.

Persaingan Kumpulan B pula membabitkan juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor Leste.

Sementara itu, pasangan kembar bola sepak negara Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak, mahu memanfaatkan peluang beraksi bersama de­ngan membantu Harimau Malaya mencapai kejayaan dalam Kejohanan Piala AFF 2018.

Aidil dan Zaquan kembali ber­aksi bersama dalam skuad kebangsaan untuk tugasan dalam Piala AFF selepas kali terakhir melakukannya pada 2008.

“Secara peribadi, kempen Piala AFF kali ini agak berbeza kerana saya dan Aidil akan bersama-sama dalam senarai pa­sukan,” kata Zaquan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN