Harga petrol RON95 diapungkan, subsidi 30 sen - Utusan Malaysia

Harga petrol RON95 diapungkan, subsidi 30 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM) yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibuat dalam usaha meningkatkan kecekapan penggunaan sumber di samping membendung ketirisan berikutan perbezaan harga minyak dan penyeludupan rentas sempadan.

Katanya, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

“Mekanisme baharu ini dijangka bermula pada suku kedua 2019. Untuk ini, RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen, di sini sebentar tadi.

Katanya lagi,  Pakatan Harapan (PH) melalui manifestonya telah berjanji untuk memberi subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik
kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,300cc dan ke bawah atau pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

“Atas rasa keprihatinan, kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik janji tersebut dengan memberi subsidi kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN