GUANGZHOU 14 Nov. – Kontrak niaga hadapan minyak sawit di Bursa Malaysia Derivatives Exchange (BMD) susut lebih daripada 18 peratus tahun ini berikutan peningkatan pengeluaran di Asia Tenggara, yang menyumbang sebahagian besar bekalan global.
Kontrak utama BMD minggu ini jatuh ke paras paling rendah sejak 2015 pada kadar RM2,008 setan.
Penganalisis industri, Dorab Mistry berkata, niaga hadapan minyak sawit Malaysia boleh meningkat pada tahun depan jika corak cuaca El Nino yang diramalkan oleh pakar-pakar dapat mengurangkan pengeluaran.
Katanya, mengikut data yang dikeluarkan Biro Cuaca Kebangsaan Jepun minggu lalu pola cuaca El Nino telah terbentuk dan terdapat peluang 70 peratus menghampiri Hemisfera Utara.
“Sekiranya ia (El Nino) sederhana, ia akan menjejaskan pengeluaran sawit bermula Julai 2019. Tempoh tersebut akan bertembung dengan kitaran rendah biologi dan tempoh berehat untuk kebanyakan pokok sawit,” katanya di sini hari ini.
“Pada paras semasa ringgit, niaga hadapan BMD sekitar RM2,000 menjadikan harga kelapa sawit kompetitif dan dapat membantu mendapatkan semula eksport,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, peningkatan penggunaan minyak sayur-sayuran global dalam pembuatan bahan api yang boleh diperbaharui memberi sokongan bagi harga minyak sawit.
“Permintaan biodiesel kini juga merupakan faktor yang paling penting bagi penentuan harga tahun hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu Mistry turut meningkatkan unjuran pengeluaran minyak kelapa sawit Indonesia daripada 38.5 juta tan kepada 41 juta tan.
Katanya, stok minyak kelapa sawit Malaysia sehingga hujung Disember ini dijangka meningkat sehingga 3.5 juta tan.
“Stok kelapa sawit Indonesia kini mencecah lima juta tan dan akan terus meningkat,” katanya. – REUTERS










