Harap ada bonus tahun ini - Utusan Malaysia

Harap ada bonus tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 2 Nov. – Petang ini, buat pertama kalinya dalam sejarah pembentangan belanjawan akan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas 61 tahun.

Pastinya rakyat tidak sabar-sabar menantikan pembentangan Belanjawan 2019 itu dengan harapan manfaat yang bakal diterima mereka sekurang-kurangnya sama dengan apa yang pernah diberikan oleh kerajaan terdahulu.

Seorang kakitangan awam dari negeri ini, Mohd. Zaidi Mansor,36, berkata, dia berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat mengumumkan khabar gembira dalam pembentangan belanjawan petang ini, khususnya melibatkan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Dia juga berharap kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan bonus atau setidak-tidaknya sagu hati kepada kakitangan awam.

“Jika dahulu dalam keadaan apa sekali pun sama ekonomi baik atau sebaliknya, kerajaan tetap mengumumkan sagu hati kepada penjawat awam. Malah, kerajaan dahulu juga sentiasa fokus kepada golongan berpendapatan rendah.

“Dalam masa sama, saya juga berharap bantuan bersasar yang diberikan oleh kerajaan terdahulu dapat diteruskan oleh kerajaan hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang kakitangan swasta, Faizal Ismail, 34, berkata, kerajan diminta memberi fokus untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 khususnya untuk pekerja dalam sektor swasta.

Selain itu katanya, pembinaan perumahan kos rendah dan rumah mampu milik juga perlu diperbanyakkan bagi menampung keperluan rakyat di negara ini yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.

“Dua perkara itu antara yang perlu diberi fokus oleh kerajaan dalam pembentangan belanjawan tahun ini,” katanya.

Seorang lagi kakitangan di hospital swasta, Nor Shuhada Md. Salleh, 33, berkata, selain memberi fokus kepada golongan berpendapatan rendah, kerajaan juga diminta membantu meningkatkan kemudahan kesihatan di negara ini.

Katanya, meskipun keadaan kewangan negara dikatakan merosot namun kerajaan perlu mencari jalan mendapatkan pendapatan seterusnya digunakan untuk pembangunan di negara ini.

“Bagi golongan pertengahan seperti kami, tidak apa yang diharapkan selain kerajaan dapat membantu meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penoreh getah, Amirul Muslimin Azizan, 32, pula berharap belanjawan yang akan dibentangkan petang ini dapat memberi fokus kepada nasib penoreh getah di negara ini.

“Nasib penoreh getah semakin teruk sejak akhir-akhir ini sehingga ada dalam kalangan kami hendak membeli barangan keperluan harian pun tidak cukup,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN