Hamstring ranapkan impian Shahril - Utusan Malaysia

Hamstring ranapkan impian Shahril

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FAKTOR kecederaan menyebabkan penyerang skuad hoki negara, Muhammad Shahril Saabah ‘berputih mata’ untuk beraksi pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India bermula 28 November hingga 16 Di­sember depan.

Shahril, 24, masih belum pulih daripada kecederaan hamstring koyak otot sepanjang satu sentimeter pada kaki kiri sewaktu membantu Malaysian Tigers meraih tempat ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Muscat, Oman bulan lalu.

“Saya akur tidak dapat ke Piala Dunia kerana proses pemulihan ini memakan masa empat hingga enam minggu untuk pulih.

“Otot saya koyak berhampiran dengan tulang kaki kiri sekali gus melambatkan proses pemulihan ini,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Shahril antara beberapa pemain terpaksa digugurkan ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans sewaktu pe­ngumuman barisan 18 terbaik menghadapi Piala Dunia 2018 di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Kecederaan itu meleburkan impian Shahril untuk membuat penampilan kedua di pentas berprestij dunia tersebut selepas membuat debut pertama pada edisi 2014 di The Hague, Belanda.

Antara nama yang digugurkan ialah Muhammad Amirol Aideed Arshad, Muhammad Najib Abu Hassan dan Muhammad Haziq Samsul.

Sehubungan itu, Shahril yang juga pakar flick skuad negara, berharap ketiadaannya tidak menjejaskan semangat dan ren­tak persembahan rakan-rakan sepasukannya dalam misi melepasi halangan peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Malaysian Tigers diletakkan dalam Kumpulan D yang dianggap ‘kumpulan maut’ bersama tiga bekas juara iaitu finalis Piala Dunia 2014, Belanda (No. 4 dunia), Jerman (No. 6 dunia) dan Pakistan (No. 13 dunia) pada kempen di Stadium Kalinga nanti.

Skuad negara yang menghuni ranking ke-12 dunia dijadualkan menghadapi tiga aksi pemanas badan menentang pasukan No. 9 dunia, New Zealand di Stadium Hoki Nasional pada 16, 20 dan 22 November ini sebelum berlepas ke India.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN