LONDON – Selepas menjulang gelaran dunia kelima Formula Satu (F1) 2018, Lewis Hamilton kini meletakkan azam yang lebih tinggi iaitu untuk menghampiri rekod yang dicatatkan Michael Schumacher.
Ketika ini, Hamilton telah berjaya menyamai rekod yang dicatatkan Juan Manuel Fangio selepas muncul sebagai juara dunia F1 buat kali kelima ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Mexico minggu lalu.
Justeru, pemandu berusia 33 tahun itu bertekad untuk menyamai rekod Schumacher yang menjulang tujuh kali gelaran dunia. Hamilton dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk melakukannya apabila telah berjaya memecahkan rekod petak pertama yang dicatatkan Schumacher.
Pemandu Britain itu telah berjaya mengatasi rekod Schumacher (68) selepas menempah petak pertama sebanyak 81 kali dan hampir untuk menyamai rekod 91 kemenangan dan 155 kali menaiki podium pemandu legenda dari Jerman itu.
Awal tahun ini, Hamilton menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Mercedes, sekali gus menyaksikannya kekal beraksi di F1 sehingga hujung musim 2020.
“Saya tidak mahu terlalu ambil mudah sepanjang beraksi dalam perlumbaan ini. Saya hargai dengan kemenangan yang diperoleh ketika ini. Saya sangat bernasib baik untuk berada pada tahap ini.
“Sama ada saya berpeluang untuk memenanginya lagi, tiada siapa yang tahu. Perjalanan karier saya masih panjang. Oleh itu, jadi saya harap sekurang-kurangnya dapat menghampiri rekod Schumacher,” katanya.
Selepas muncul pemandu ketiga memenangi lima kejuaraan dunia, Hamilton tidak mendabik dada, sebaliknya masih melabelkan Schumacher sebagai pemandu genius selepas memperoleh kejayaan luar biasa bersama Ferrari.
“Schumacher seorang pemandu terbaik sepanjang zaman dan saya sangat hormati kejayaannya dalam perlumbaan ini. Apa yang dilakukannya membuatkan saya lebih bermotivasi untuk sekurang-kurangnya menyamai apa yang pernah dilakukannya,” ujarnya. – Agensi











