Hafizh bergelut pada sesi latihan - Utusan Malaysia

Hafizh bergelut pada sesi latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUMBA Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Hafiz Syahrin Abdullah bergelut untuk mendapatkan tunggangan terbaik apabila berdepan masalah cengkaman tayar depan pada sesi latihan bebas menjelang Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu mengakui tidak selesa dengan jentera dipacunya itu, sekali gus berdepan kesukaran untuk mencatatkan kedudukan 10 terbaik pada sesi latihan tersebut.

Pada sesi tersebut, Hafizh, 24, berada di kedudukan ke-17 dengan catatan 2’01.419 saat (s) pada sesi latihan pertama malah gagal memperbaiki masa apabila mencatatkan 2’01.894s bagi sesi latihan bebas kedua meskipun sudah melakukan pelarasan berbeza.

Justeru, Hafizh kini menye­rahkan kepada pasukannya untuk mencari pelarasan terbaik bagi mengharungi sesi kelayakan selain bertekad untuk melakukan kejutan di laman sendiri.

“Bagi saya sesi latihan bebas hari ini (semalam) tidak mudah kerana ia tidak mencapai sasaran seperti yang kami rancangkan. Saya berdepan masalah untuk memperlahankan jentera malah mengalami kesulitan ketika keluar dari selekoh.

“Kami sudah melakukan pelarasan yang lebih baik dengan menggunakan tayar jenis lembut, medium dan keras selain memperbaiki suspensi jentera, namun ia masih gagal membantu.

“Kini, saya alami dua masalah berbeza kerana ketika keluar selekoh, saya terpaksa memastikan jentera stabil untuk memecut semula.

“Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat saya dan saya percaya pasukan akan melakukan yang terbaik bagi memperbaiki catatan masa saya esok (hari ini),” katanya sejurus tamat sesi latihan di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai penggunaan sayap (winglet), Hafizh mengakui kea­daan jenteranya lebih stabil selain daya cengkaman pada tayar depan.

“Sudah pasti penggunaan winglet membantu terutama ketika berada di laluan lurus dan saya tidak merasa tekanan angin yang kuat. Ketika keluar dari selekoh keadaan lebih baik dan tayar lebih mencengkam.

“Saya harap kami berjaya dapatkan pakej terbaik dan saya akan cuba memberi tunggangan terbaik pada perlumbaan sebenar nanti,” ujarnya.

HARI INI

Latihan Bebas Ketiga Moto3

9.00am-9.40am

Latihan Bebas Ketiga Moto2

9.55am-10.40am

Latihan Bebas Ketiga MotoGP

10.55am-11.40am

Sesi Kelayakan Moto3

12.35pm-1.15pm

Sesi Kelayakan Moto2

1.30pm-2.15pm

Latihan Bebas Keempat MotoGP

2.30pm-3.00pm

Sesi Kelayakan Pertama MotoGP

3.10pm-3.25pm

Sesi Kelayakan Kedua MotoGP

3.35pm-3.40pm

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN