KUALA LUMPUR – Pendekatan baharu yang diambil selepas pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahun 1 hingga 3 tidak akan menambah beban guru sebaliknya akan membolehkan mereka fokus kepada tugas mendidik dan menyemai nilai-nilai murni pada murid, kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Beliau berkata, isu bebanan guru tidak akan timbul kerana mereka hanya perlu melakukan pemantauan berterusan yang hasilnya akan dikongsikan dengan ibu bapa murid.
“Daripada awal, pertengahan hingga hujung tahun sudah tentu setiap murid amat dikenali guru kelasnya dan mereka akan melihat kelemahan serta kelebihan anak murid itu.
“Kelebihan perlu diceritakan kepada ibu bapa supaya diberi tambahan galakan. Jika ada kekurangan, guru dan ibu bapa perlu berbincang bagaimana hendak mengatasi kelemahan itu,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook semalam.










