Guru dituduh cederakan pelajar - Utusan Malaysia

Guru dituduh cederakan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 5 Nov. – Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan  merotan dan menyepak seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun  pada September lalu.

AHMAD FAKHRURAZI
AHMAD FAKHRURAZI

Ahmad Fakhrurazi Suhaimi, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, guru mata pelajaran Sejarah itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan merotan dada dan menyepak pinggang remaja terbabit di bilik bacaan Asrama Puteri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, Marang, kira-kira pukul 10 malam pada 11 September lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada pukul 10.05 malam, Ahmad Fakhrurazi turut didakwa merotan bahu dan menyepak pinggang mangsa di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa merotan dan menyepak punggung serta merotan kepala dan menyepak peha mangsa iaitu pada jam 9.30 malam dan 9.35 malam di sekolah dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN