KUALA LUMPUR – Seorang guru besar tidak mempunyai kuasa dalam menentukan sama ada guru yang memohon untuk bertukar ke sekolah lain layak atau tidak untuk berbuat demikian.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak (gambar) berkata, tindakan seorang guru di Pandamaran, Klang, Selangor memberi wang suapan bernilai RM5,000 kepada guru besarnya merupakan satu kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan.
“Jika permohonan seorang guru mempunyai merit ataupun menepati syarat-syarat untuk perpindahan, maka ia akan diluluskan. Banyak faktor yang akan dilihat, antaranya sama ada keselamatannya diancam atau berhadapan masalah rumah tangga.
“Guru-guru yang ingin memohon untuk bertukar sekolah perlu merujuk kepada Pegawai Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penahanan tiga orang guru termasuk seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Pandamaran, Klang kelmarin kerana meminta dan menerima suapan sebanyak RM5,000 berkaitan penukaran guru di sekolah terbabit.
Dalam pada itu, Kamarozaman berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usahanya untuk meningkatkan tahap integriti guru.
Katanya, antara perkara yang akan dilakukan bagi tujuan tersebut adalah dengan mengadakan jelajah di negeri-negeri.











