LONDON 13 Nov. – Persatuan Bolasepak (FA) England sedang menyiasat pengurus Manchester City, Pep Guardiola berhubung kenyataan yang dikeluarkannya membabitkan perlawanan menentang jiran setempat, Manchester United minggu lalu, lapor media di Britain.
Pengendali dari Sepanyol itu didakwa ada memberi komen bukan kontroversi tentang pengadil perlawanan itu, Anthony Taylor namun ia tetap bertentangan dengan pendirian FA yang tidak membenarkan sebarang komen seperti itu dibuat.
Antara komen yang diberikan Guardiola ketika menjawab soalan wartawan ialah berkaitan dakwaan penyokong City bahawa Taylor merupakan penyokong tegar United dan berkemungkinan tidak mampu berlaku adil dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun Taylor menerima pujian kerana berjaya mengendalikannya dengan baik sehingga menyaksikan City menang 3-1 dalam aksi di Stadium Etihad itu. – AFP











