KUALA LUMPUR 1 Nov. – Ketelusan dalam pentadbiran kerajaan menjadi agenda utama Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan semua menteri dan ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
Langkah itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menghalang sebarang bentuk amalan rasuah dalam jentera pentadbirannya.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mewujudkan satu seksyen baharu di bawah agensi itu untuk mewajibkan ahli-ahli Parlimen membuat pengisytiharan harta masing-masing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, seksyen tersebut sedang dirangka dan akan dibentangkan di Parlimen April tahun depan.
“Pengisytiharan harta sepatutnya dilakukan dalam masa tiga bulan selepas Ahli Parlimen mengangkat sumpah sebagai janji kepada rakyat sebelum ini,” kata beliau.
Sementara itu, SPRM telah mengeluarkan 85 pemimpin parti politik yang telah mengisytiharkan harta dan pendapatan bulanan masing-masing di laman web khas iaitu di mydeclaration.sprm.gov.my.
Berdasarkan senarai tersebut, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng memiliki pendapatan tertinggi iaitu sebanyak RM86,464.92 manakala Dr. Mahathir serta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sebanyak RM75,861.57 sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki pendapatan RM59,048.33.
Pendapatan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula sebanyak RM50,253.88; Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (RM54,569.81) manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri berpendapatan sebanyak RM69,186.48.
Sehingga kini sebanyak 34 ahli Parlimen dari PKR telah mengisytiharkan pendapatan mereka diikuti DAP (29), Bersatu (sembilan) dan masing-masing enam dari Amanah serta Warisan.











