KUALA TERENGGANU 12 Nov. – Kerajaan negeri menggesa Kementerian Pendidikan memberikan lebih banyak pengiktirafan kepada universiti luar negara yang menawarkan kursus dalam bidang pengajian Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, langkah ini untuk memberi peluang lebih banyak kepada pelajar membuat pilihan agar tidak tertumpu kepada beberapa negara sahaja seperti Jordan dan Mesir.
Katanya, oleh itu kerajaan perlu memberi pengiktirafan yang lebih banyak terutama di negara yang tidak berkait dengan keselamatan (peperangan) antaranya seperti di Maghribi, Algeria dan Tunisia.
“Pihak kementerian perlu menyediakan ruang yang lebih selesa kepada mereka yang ingin menyambung pengajian di negara-negara berkenaan.
“Kerajaan perlu berlaku adil kepada mereka. Pihak kementerian kini hanya dilihat memberi pengiktirafan lebih banyak kepada universiti di China dalam bidang kedoktoran dan kejuruteraan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu, di sini hari ini yang turut dhadiri Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Azam Awi.
Katanya, pengiktirafan amat penting untuk membolehkan bantuan dapat diberikan kepada pelajar yang layak dan sekali gus membolehkan mereka untuk berkhidmat dalam kerajaan.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, Sekolah Menengah Agama (SMA) Setiu dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan Anugerah Kecemerlangan Sekolah Agama Negeri Terengganu 2018.
Sekolah berkenaan menerima piala pusingan, wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan.Tempat kedua disandang oleh SMA Mahmudiah, Kuala Berang manakala SMA Ittifakiah, Besut di tempat ketiga.
Sebanyak 18 anugerah disediakan termasuk bagi pusat sumber terbaik, asrama terbaik, invoasi di samping anugerah jabatan iaitu Anugerah Emas Pesuruhjaya, Anugerah Terbilang, Gemilang dan Cemerlang Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pendidikan).
SMA Sultan Zainal Abidin menerima Augerah Emas, diikuti SMA Agama Khairiah di sini (Anugerah Terbilang); SMA Mahmudiah Hulu Terengganu (Anugerah Gemilang); SMA Ittifakiah (Anugerah Cemerlang) dan SMA Sultan Ismail Dungun (Anugerah Tunas Harapan). – UTUSAN ONLINE










