Gesa ICERD dibahas di Parlimen - Utusan Malaysia

Gesa ICERD dibahas di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kerajaan digesa membawa isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ke Parlimen untuk dibahaskan sebelum menandatanganinya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu perlu di­bincangkan secara menyeluruh, khususnya semua ahli Parlimen yang mewakili rakyat kerana melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kepentingan kaum Melayu secara umum, hak anak negeri Sabah dan Sarawak serta beberapa perkara lain berkaitan.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, beliau sendiri mengusulkan perkara itu di bawah Peraturan Mesyuarat 26 yang juga disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat selain berharap kerajaan memberi laluan kepada usul itu untuk dibahaskan.

Azalina Othman
AZALINA OTHMAN

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung sesi jawapan menteri, bagaimanapun kerajaan tidak memberi komitmen yang perkara ini dibawa ke Parlimen.

“Seperti mana yang dinyatakan Waytha Moorthy bahawa ramai tidak faham tujuan sebenar ICERD ini, justeru, saya berpandangan Parlimen adalah platform terbaik untuk kerajaan membuat penjelasan secara terperinci, se­kali gus mendapatkan maklum balas daripada ahli Dewan Rakyat sebelum kerajaan bertindak untuk mengesahkan kon­vensyen tersebut kerana ia mampu melibatkan implikasi besar kepada negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyata­an di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun keraja­an menjelaskan rati­fi­kasi konvensyen itu boleh dibuat dengan penge­cualian tanpa melibatkan pindaan undang-undang sedia ada, namun dikhuatiri ICERD akan mendesak dan menekan negara untuk membuat pindaan undang-undang yang selari dengan pendirian konvensyen itu bagi menghapus sebarang bentuk diskriminasi kaum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN