IPOH 28 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menganggap
usaha menjatuhkannya yang didakwa digerakkan oleh exco kerajaan negeri,
hanya merupakan desas-desus serta bukan suatu perkara konkrit dan benar-
benar akan berlaku.
Ahmad Faizal yang tidak menafikan dakwaan itu berkata,
walaupun ia benar sekalipun, ia boleh dihentikan kerana menganggapnya
sebagai tidak penting, justeru mengharapkan polemik politik dapat
dihentikan.
Lebih-lebih lagi, beliau mengakui hubungannya bersama 10 exco kerajaan
negeri begitu baik ibarat satu keluarga besar yang bahagia
sekali gus menekankan fokus kerajaan dalam membangunkan negeri serta
memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Selagi perkara itu tidak berlaku, saya fikir tidak perlulah saya komen.
Cerita-cerita kononnya ada rundingan, perjumpaan dan sebagainya,
bermakna, segala perjumpaan itu tidak menjadi, jadi, kenapa perlu komen
untuk sesuatu yang perkara yang tidak menjadi.
“Saya tidak boleh melihat siapa (exco yang dikatakan ingin
menggulingkannya) kerana kami merupakan satu keluarga besar yang bahagia.
Kami kukuh sebaai kerajaan, kalau pun dalam hati tidak bersetuju dengan
saya tetapi itu tidak ditonjolkan dalam bentuk tindakan dalam usaha
memberi perkhidmatan kepada rakyat, jadi saya tidak kisah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di luar
Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di
sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau juga berpuas hati dengan
komitmen serta kerjasama kesemua exco kerajaan negeri, malah sentiasa
membenarkan mereka untuk mengutarakan pandangan sebelum membuat sebarang
keputusan yang menepati kehendak rakyat.
Malahan katanya, pihaknya juga tidak pernah meninggalkan penganjuran
mesyuarat exco kerajaan negeri seperti didakwa sesetengah pihak melainkan
sewaktu cuti hari raya.
“Setiap rakyat berhak membuat laporan polis (berhubung gerakan
menggulingkan Menteri Besar) dan pihak polis juga wajib menyiasat jika
ada laporan, jadi saya serahkan pada mereka, terpulang pada pihak
masing-masing.
“Bukanlah bila ada usaha untuk menggulingkan saya, tiba-tiba mereka
(exco) tidak datang mesyuarat, jadi tidak melihat perkara itu. Namun,
kalau saya nampak perkara itu, saya perlu ambil satu tindakan yang boleh
memperkukuh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









