PUTRAJAYA 9 Nov. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi amaran kepada semua peniaga di pasar tani di seluruh negara supaya mementingkan aspek kebersihan di gerai masing-masing atau dikenakan tindakan keras.
Pengerusi Fama, Ishak Ismail berkata, berikutan itu, bermula 1 Januari tahun hadapan semua gerai milik peserta pasar tani akan diberikan penarafan mengikut tahap kebersihan menerusi kempen Pasar Tani Bersih fasa dua.
“Setiap gerai usahawan akan diberikan penarafan mengikut tahap kebersihan iaitu sangat bersih (A), bersih (B), kurang bersih (C) dan kotor (D).
“Jika ada gerai yang mendapat skor D, Fama akan membuat pemantauan dan kalau mereka masih tidak mempedulikan aspek kebersihan kemungkinan mereka akan terkeluar daripada senarai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen Pasar Tani Bersih peringkat Wilayah Persekutuan di Pasar Tani Putrajaya, di sini hari ini.
Menurut Ishak, sehingga kini terdapat sebanyak 30,324 bilangan peserta di 712 pasar tani di seluruh negara sehingga tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










