JOHOR BAHRU 1 Nov. – Pusat beli belah Galleria@Kotaraya di sini yang menempatkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor gempar seketika apabila sebuah premis ‘terbakar’ hingga menyebabkan orang ramai di dalam bangunan terpaksa bergegas keluar bagi menyelamatkan diri.
‘Kebakaran’ bermula pukul 10.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dikendalikan dengan pantas oleh beberapa anggota Emergency Response Team (ERT) bangunan berkenaan sebelum sepasukan anggota bomba dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin tiba tidak lama kemudian.
Kejadian tersebut turut menyebabkan beberapa orang yang terlibat dalam ‘kebakaran’ itu ‘mengalami kecederaan’ dan terpaksa diusung keluar oleh anggota bomba terlibat.
Bagaimanapun, ‘kebakaran’ yang berlangsung kira-kira 20 minit itu hanya latihan kecemasan kebakaran dijalankan oleh pengurusan Galleria@Kotaraya dan UTC Johor yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar Damansara Assets Sdn. Bhd., Saffian Jaafar merangkap pengurus bangunan berkenaan. – UTUSAN ONLINE











