KUALA TERENGGANU 20 Nov. – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah, gejala sosial dan ajaran sesat dalam kalangan umat Islam semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Titah baginda, gejala itu berpunca daripada jiwa setiap umat Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri sudah semakin menipis.
“Sejak akhir-akhir ini gejala ajaran sesat dan masalah sosial semakin membarah dalam setiap sendi masyarakat Islam. Kesemuanya berpunca daripada tipisnya jiwa sanubari setiap Muslim terhadap ajaran Islam,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis Sambutan Maulidur Rasul 2018 peringkat negeri di Stadium Negeri, di sini hari ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda; Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; barisan Exco kerajaan negeri; wakil rakyat; pembesar dan kenamaan negeri.
Sultan Terengganu seterusnya menyeru seluruh umat Islam agar mempelajari dan menghayati sirah Rasulullah SAW dalam usaha mengembalikan semula maruah serta martabat umat Islam.
“Setiap umat Islam wajar mempelajari sirah Rasulullah, memahami, menghayati dan juga menterjemahkan dalam realiti kehidupan semasa kerana Islam merupakan cara hidup yang menyeluruh.
“Islam itu mudah, senang difahami selain dihayati serta diamalkan sesuai dengan fitrah manusia,” titah baginda.










