KOTA BHARU 11 Nov. – Rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pemimpin negara tidak lagi menjadi fokus Pas kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa terlibat dengan amalan tersebut telah pun ditumbangkan dalam pilihan raya.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, sebagai parti pembangkang, fokus Pas sekarang ialah menegur kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan antara isu terkini yang perlu diberi perhatian ialah membendung gejala sosial seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Sehubungan itu katanya, Parti Amanah Negara (Amanah) tidak perlu menyindir kononnya wakil rakyat Pas tidak bersungguh-sungguh melawan isu rasuah kerajaan terdahulu, sebaliknya lebih ghairah membangkitkan isu LGBT di Parlimen.
“Dia nak suruh kita cakap isu rasuah buat apa lagi? Kerajaan baharu ini kan bersih. Kenapa nak sebut-sebut lagi. Buat apa kita menyerang kerajaan yang sudah tumbang. Semua orang akui kerajaan BN banyak isu rasuah, dan kita memang dah lama mengkritik mereka.
“Tetapi bila dia dah jatuh tak perlu kita nak serang lagi. Tun Daim Zainuddin sendiri dah sebut jangan buang masa ungkit kesalahan lalu, tetapi fokus kepada kerja sekarang. PH sekarang berkuasa, ambil tindakan dan bawalah BN ke mahkamah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan 2018 oleh Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke-49 di Istana Balai Besar di sini hari ini.
Semalam ketika merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan, Presiden parti itu, Mohamad Sabu mempersoal sikap segelintir ahli politik berstatus ‘lebai’ yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh melawan isu rasuah dan penyelewengan dilakukan pemimpin negara terdahulu.
Menurut Mohamad, ketika Dewan Rakyat bersidang baru-baru ini, kumpulan ahli politik terbabit dilihat seolah-olah hanya ghairah mahu membangkitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semata-mata dan langsung tidak membangkitkan isu rasuah.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, mengungkit kesalahan kerajaan lama tidak lagi memberi faedah kepada rakyat dan Pas sebagai pembangkang mahu memberi fokus terhadap isu semasa seperti masalah rakyat, sosial, Islam serta janji-janji yang tidak ditunaikan PH.
“Itu yang menjadi fokus wakil rakyat kita dalam Parlimen sekarang. Mungkin dia (Mohamad) jarang pergi (Parlimen) kot?” katanya. – UTUSAN ONLINE










