LONDON 13 Nov. – Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic mempertahankan musuh ketatnya, Roger Federer yang menjadi mangsa kritikan kerana sering menerima layanan istimewa daripada penganjur Jelajah Tenis Profesional.
Pemain Perancis, Julien Benneteau mencetuskan suasana panas, Ahad lalu apabila memberitahu radio RMC Sport bahawa penganjur dan pengadil sering melebihkan Federer, terutama ketika membuat jadual perlawanan.
Benneteau yang pernah menghuni tangga ke-25 dunia berkata, penganjur Terbuka Australia antara yang sering memberi layanan istimewa kepada Federer kerana status juara enam kali yang dipegang bintang Switzerland tersebut.
Dia juga mendakwa, Pengarah Terbuka Australia, Craig Tiley terlibat dengan projek khas Federer iaitu Piala Laver, pertandingan berpasukan yang menjadi acara pertunjukan setiap tahun.
“Apabila dia (Federer) mempromosikan Piala Laver, terdapat konflik kepentingan yang kemudian menganggu perkara lain.
“Sebagai penganjur kejohanan itu, Craig Tiley yang juga Pengarah Terbuka Australia, akan berurusan dengan pihak pemasaran serta hak penyiaran.
“Dia (Tiley) akan membayar Roger Federer sebagai ejen dan kerana hubungan mereka yang rapat, Federer sering mendapat layanan istimewa bermain pada sebelah malam dalam kebanyakan perlawanan,” katanya.
Kebanyakan pemain cuba mengelak beraksi pada waktu siang di Australia kerana perlawanan berlangsung di bawah cuaca panas.
Sementara itu, Djokovic ketika mengulas isu tersebut berkata: “Dia (Federer) berhak mendapat layanan istimewa kerana dia juara Terbuka Australia enam kali dan antara pemain terbaik”.
Djokovic berkata demikian ketika ditemui sejurus tamat aksi pembukaan ATP Final menentang John Isner dari Amerika Syarikat. Bintang Serbia itu menang 6-4, 6-3.
Federer, 37, tewas mengejut 6-7 (4/7), 3-6 kepada Kei Nishikori dalam aksi sulungnya semalam. –AGENSI










