SIDANG Kemuncak Korea kali ketiga yang berlangsung pada September lalu di Pyongyang menyaksikan peralihan babak baharu yang menjurus kepada keamanan serantau. Sambutan Presiden Korea Utara, Kim Jong-un kepada rakan sejawatnya, Moon Jae-in semasa tiba di lapangan terbang antarabangsa Sunan dinilai sebagai simbolik penyatuan di Semenanjung Korea.
Dua perkara yang disentuh dalam pertemuan selama tiga hari tersebut yang bakal membuka lembaran baharu adalah mengenai kerjasama ekonomi, program senjata nuklear Pyongyang dan inisiatif menamatkan Perang Korea secara rasmi melalui satu perjanjian keamanan bilateral antara Pyongyang dan Seoul.
Selain perkembangan dua negara Korea tersebut, perkembangan positif lain di rantau itu juga adalah inisiatif dua negara penting, Jepun dan China yang merancang untuk menggunakan pendekatan baharu bagi memulihkan hubungan diplomatik.
Setakat ini, Tokyo dan Beijing mampu mengelakkan ancaman ketenteraan kerana terikat dengan perjanjian keamanan dan persahabatan yang telah ditandatangani 40 tahun lalu.
Sukar dinafikan bahawa Jepun di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Shinzo Abe merupakan arkitek yang berperanan penting untuk memastikan berlaku peralihan daripada ‘perang dingin’ kepada fasa keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
Abe yang berjaya mengekalkan mandat selama tiga penggal sebagai presiden dalam pemilihan parti pimpinannya, Parti Liberal Demokratik (LDP) pada 20 September lalu turut menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negara itu.
Satu hal yang menarik, berbeza dengan pemimpin Jepun terdahulu yang banyak bergantung kepada Amerika Syarikat (AS), Abe pula dilihat mengambil pendekatan tersendiri untuk menguruskan hubungan diplomatik yang dinilai lebih berdikari dan menjurus kepada keamanan.
Buktinya, tatkala kekacauan perang dagang Washington dan Beijing yang belum menunjukkan sebarang petunjuk akan reda, Tokyo telah membentuk kerjasama yang lebih komprehensif dengan Kesatuan Eropah (EU) meliputi pelbagai bidang khususnya ekonomi dan perdagangan.
Kerjasama itu pula dibahagikan kepada dua bentuk perjanjian iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi (EPA) dan Perjanjian Perkongsian Strategik (SPA). Dua dokumen ini terutamanya SPA inilah yang dilihat membuka peluang kepada Tokyo untuk lebih berdikari dalam menentukan hala tuju hubungan luarnya.
Selain itu, ketika menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF) kali keempat yang berlangsung di Vladivostok pada September lalu, dalam ucapannya, Abe lebih memberi tumpuan kepada hal ehwal serantau berbanding dua pemimpin China dan Rusia yang banyak menyentuh tentang isu ekonomi.
Abe turut mengundang Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menandatangani perjanjian keamanan pasca Perang Dunia kedua serta menggesa supaya Semenanjung Korea menjadi sebuah zon nyah nuklear (denuclearization).
Walaupun belum boleh dipastikan matlamat tersebut dicapai tetapi sekurang-kurangnya peranan Jepun yang bertindak sebagai kuasa pendamai tidak boleh dinafikan.
Pemulihan hubungan Tokyo-Beijing juga dipercayai bermula daripada pertemuan Abe dan Presiden China, Xi Jinping dalam forum selama tiga hari itu.
Sementara itu, bagi kalangan negara-negara Asia lain, fasa yang menjurus kepada kestabilan dan keamanan ini sudah tentu menerima sambutan yang cukup baik tatkala dasar luar pentadbiran Trump yang tidak menentu.
Di Asia Timur pula, hala tujunya yang terdahulu lebih banyak ditentukan dan dibentuk daripada tindakan tiga negara iaitu Jepun, China serta AS sebagai kuasa pengimbang asing.
Walau bagaimanapun, Washington di bawah Trump sekarang dilihat semakin menunjukkan sikap tidak peduli tentang kepentingannya di rantau tersebut, sebaliknya lebih menekankan tentang prinsip ‘Amerika Didahulukan’.
Berbeza pula dengan bekas presiden AS khususnya Barack Obama yang memainkan peranan penting menjaga kepentingan di rantau tersebut di samping sokongan kuat daripada Tokyo. Di bawah Obama, beliau memperkenalkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) untuk ‘mengikat’ negara-negara peserta. Tetapi sejurus berkuasa, Trump menarik AS dari perjanjian tersebut.
Justeru, kelompangan kepimpinan AS di Asia Timur telah memberi peluang kepada Abe untuk membawa agenda kestabilan dan keamanan yang mana bertujuan bagi memastikan imbangan kuasa di rantau tersebut tidak dikuasai oleh sebuah negara kuasa besar seperti China.
PENULIS ialah Pelajar Pascasiswazah Pengajian Asia Timur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).











