SEJAK Faralyna Idris mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya lima tahun lalu, boleh dikatakan amat jarang kelibatnya terlihat mewarnai dunia hiburan.
Sehinggakan timbul dakwaan rambang bahawa dia bulat dengan keputusan berhenti dari dunia lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga.
Tidak menolak ia merupakan satu alasan yang kuat, pelakon ini bagaimanapun mengaku tidak pernah berniat untuk membuang terus minatnya dalam bidang seni lakon.
Malah tuduhan dia tiada tawaran berlakon juga dianggap tidak berasas memandangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Saya yang seringkali menghampakan banyak pihak kerana rata-rata tawaran yang datang, tidak kena dengan masa dan jadual saya yang padat,” katanya menepis dakwaan.
Melayari hidup sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, Fara mengakui bukan mudah untuknya memberi kata putus untuk komitmen kerja.
“Keutamaan saya sentiasa pada keluarga dan kerana itu banyak juga tawaran terpaksa saya tolak dengan baik apalagi bila baru sahaja dikurniakan anak kedua yang masih bayi.
“Bohong kalau katakan saya tak rindu untuk masuk semula set penggambaran. Itu adalah dunia dan minat saya, lebih-lebih lagi kalau dapat watak berat.
“Tuhan sahaja tahu betapa gembiranya bila menerima tawaran seperti itu. Tetapi semua itu terpaksa diketepikan kerana saya bimbang keluarga terabai,” tambahnya.
Mengaku amat mudah meresap ‘roh’ untuk sesebuah karektor, Fara tahu sejauh mana dia mampu membawa sesebuah watak namun ia juga adalah ‘kelemahan’ buat dirinya.
“Bagi orang industri yang mengenali pasti tahu saya meletakkan 100 peratus komitmen dalam tanggungjawab yang diberi. Jauh sekali mahu bermain-main.










