IPOH – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menolak perletakan jawatan daripada Presiden, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang telah menghantar surat permohonannya hari ini.
Naib Presiden merangkap Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, barisan exco Pafa telah mengadakan mesyuarat hari ini dan sebulat surat menolak permohonan tersebut.
Jelasnya, Pafa memberi tempoh selama 14 hari kepada Hasnul Zulkarnain sebagai tempoh bertenang sekali gus dapat mempertimbangkan keputusan yang telah diputuskan oleh barisan exco persatuan.
Menurut Muhammad Yadzan, Pafa masih memerlukan khidmat beliau untuk menerajui persatuan bola sepak tersebut pada musim hadapan.
“Tempoh yang diberikan itu berdasarkan keadaan gelombang yang tidak menentu yang melibatkan dirinya. Kami masih memerlukan beliau kerana melihat pelan induk (blueprint), kesungguhan dan misinya untuk pasukan bola sepak Perak.
“Selain itu, tidak dinafikan kelebihan beliau sebagai ahli politik dan hubungannya dengan kerajaan negeri juga merupakan salah satu faktor kami menolak perletakan jawatannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif Pafa di sini hari ini.
Sebelum ini, Hasnul Zulkarnain yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri mengumumkan perletakan jawatannya Khamis lalu selepas memegang tampuk tertinggi badan bola sepak negeri itu sejak 21 Julai lalu.
Keputusan tersebut dilakukan apabila dia mahu memberikan tumpuan penuh terhadap tugasnya sebagai exco kerajaan negeri dan karier politiknya.
Terdahulu, penyokong tegar bola sepak Perak yang mahu Hasnul Zulkarnian melepaskan jawatan tersebut selepas tindakannya disifatkan tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi The Bos Gaurus baru-baru ini. – K! ONLINE










