EPIC bawa senyuman keriangan kepada 80 murid keluarga miskin - Utusan Malaysia

EPIC bawa senyuman keriangan kepada 80 murid keluarga miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 13 Nov. – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) hari ini membawakan senyuman keriangan kepada seramai 80 murid dari keluarga kurang berkemampuan hari ini apabila mereka diraikan dalam program Kembali ke sekolah  2019 anjuran  di sebuah pasar raya besar dekat sini.

Setiap murid  difahamkan turut menerima bantuan RM565 termasuk baucer bernilai RM200 untuk pakaian sekolah, RM100 (kasut sekolah) serta RM80 (alat tulis) yang boleh ditukarkan dengan barangan yang dipilih sendiri di pasar raya itu.

Kesemua murid miskin dan yatim itu melibatkan empat buah sekolah rendah sekitar daerah Marang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, SK Marang, SK Rhu Rendang dan SK Kelulut. 

Majlis perasmian siri program yang menjadi tradisi EPIC setiap kali menjelang penghujung tahun disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang turut hadir, isterinya, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor; Pengurus Besar Perancangan Korporat, Pembangunan Komunikasi dan Projek Khas EPIC, Abdul Adzim Abd. Hamid dan Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran syarikat itu, Rusdi Ngah.

Dr. Ahmad Samsuri dalam sidang akhbar selepas itu berkata, program tahunan seumpama itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) EPIC, sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau seterusnya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada syarikat tersebut yang sentiasa prihatin dan komited menjayakan aktiviti kemasyarakatan termasuk dalam bidang  pendidikan selama ini.

“Justeru, kita minta agensi-agensi serta syarikat swasta lain di negeri ini supaya mengambil langkah serupa dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN