KLANG – Enam pemungut sampah ditahan selepas dipercayai memiliki motosikal curi dalam satu operasi dikenali Ops Lejang Khas di tapak pembuangan sampah di Jalan Bukit Kerayong, Jeram di sini, Sabtu lalu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, masing-masing dua lelaki warga Bangladesh dan Indonesia serta seorang wanita warga Indonesia.
Kesemuanya berumur dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun.
Dalam operasi kira-kira pukul 6 petang dan berakhir 11 malam itu, turut dirampas 11 buah motosikal curi pelbagai jenama antaranya Yamaha, Honda dan Modenas.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu sebuah tapak pelupusan sampah dan menahan enam individu termasuk seorang wanita bersama enam motosikal curi.
“Seterusnya, polis telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah kongsi di dalam tapak pelupusan sampah berkenaan dan merampas lima lagi motosikal curi.
“Hasil soal siasat, mereka dipercayai membeli motosikal berkenaan daripada seorang lelaki dengan harga antara RM250 hingga RM500 sebuah untuk kegunaan semasa bekerja di kawasan pembuangan sampah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini hari ini.
Mazelan berkata, dengan tangkapan dan rampasan ini, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 11 kes kehilangan motosikal dengan empat kes di Klang Utara, masing-masing dua kes Petaling Jaya, Kuala Langat dan Shah Alam serta satu kes di Kuala Selangor.
Katanya, warga asing yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kesemuanya direman selama empat hari sehingga Rabu ini.
“Kita sedang mengesan seorang lelaki yang dikatakan telah menjual motosikal curi ini kepada kesemua mereka yang ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











