Enam NGO buat laporan polis - Utusan Malaysia

Enam NGO buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung pengedaran kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang tular di media sosial Sabtu lalu.

Laporan polis tersebut dibuat oleh wakil NGO yang diketuai Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah dan juga Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.

Amir Amsaa berkata, tindakan dua individu yang mengedar kitab Bible tersebut menunjukkan ia seperti tindakan jahat dengan tidak menghormati penduduk Islam di negara ini.

“Dengan mengedarkan kitab Bible itu mereka dilihat seperti mempunyai agenda untuk memesongkan akidah penduduk Islam di negara ini yang mana akan menggugat keamanan dan keharmonian rakyat.

“Jadi kami dari IRIMM sekeras-kerasnya menyeru agar pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Agama Islam Putrajaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mengedarkan kitab Bible tersebut ,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Sentul di sini hari ini.

Pada 6 November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang seperti yang tular baru-baru ini.

Kata beliau, pihak yang berbuat demikian dipercayai wakil daripada NGO namun tidak mewakili gereja atau persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, mereka turut membuat laporan polis mengenai kekasaran seorang warga asing terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang menjalankan tugas turut dilakukan.

Amir Amsaa memberitahu, tindakan warga Myanmar yang memukul dan mengugut penguat kuasa tersebut di pasar borong adalah tidak menghormati undang-undang di negara ini.

“Kami berharap agar PDRM dan pihak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing yang melanggar undang-undang Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, empat lagi NGO yang membuat laporan polis ialah Amanah Rahsia Cekal (ARC), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Reformis serta Kipidap.

Semalam media melaporkan akibat berang barang jualan disita,seorang lelaki warga Myanmar ‘menyerang’ anggota penguat kuasa DBKL dengan penyembur lada di Pasar Borong Selayang.

Tindakan peniaga berusia 32 tahun itu telah menyebabkan empat anggota penguat kuasa yang sedang menulis barang sitaan berkenaan cedera di bahagian mata akibat disembur dengan serbuk lada. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN