JOHOR BAHRU – Empat remaja lelaki bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan mudarat awam kerana bergaduh di Pangsapuri Jasa, Mutiara Rini pada Jumaat lalu.
Tertuduh masing-masing berusia 15 hingga 17 tahun itu, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusan hukuman terhadap kesemua tertuduh itu sehingga laporan akhlak diterima.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat remaja terbabit didakwa bersama-sama melakukan sesuatu mudarat awam terhadap penduduk-penduduk di Blok J, Pangsapuri Jasa, Mutiara Rini di sini pada pukul 8.15 malam, 26 Oktober lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Muhamad Dan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela. – K! ONLINE










