PAPAR – Empat cedera selepas van yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 9, Jalan Baru Papar-Kota Kinabalu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tujuh mangsa yang menaiki van dalam perjalan dari arah Menumbok ke Kota Kinabalu itu dikatakan gagal mengelak daripada sebuah lori yang memasuki lorong bertentangan.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kemalangan itu telah menyebabkan empat penumpang van cedera manakala tiga lagi dilaporkan stabil.
“Hasil siasatan awal mendapati lori yang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu disyaki cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapannya tetapi, gagal sehingga menyebabkan ia terbabas lalu melanggar van mangsa di laluan bertentangan.
“Rempuhan itu menyebabkan empat mangsa di dalam van cedera manakala tiga selamat. Pemandu lori terbabit pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya hari ini.
Tambah Batholomew, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Papar di sini untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Batholomew turut memberitahu, pemandu lori yang memandu seorang diri itu telah tampil membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat. – K! ONLINE










