SHAH ALAM – Tindakan empat buah premis yang menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak diperakui sah oleh Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. (MCM) membawa padah selepas alat terbabit di sita dan pemilik premis dikompaun dalam satu operasi semalam.
Operasi oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) Selangor bersama beberapa pegawai daripada MCM dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari.
Empat buah premis yang diserbu itu adalah sebuah kilang logam di Seksyen 15 di sini, sebuah premis barangan lusuh di Subang Jaya serta dua buah premis memproses ayam di Kampung Baru Subang.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan secara mengejut selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan segelintir pemilik premis yang menipu pelanggan ketika berurus niaga.
“Hasil pemeriksaan di keempat-empat premis terbabit, kita telah merampas beberapa jenis alat timbang iaitu tiga unit alat timbang kenderaan satunya berkapasiti 100 tan serta dua unit berkapasiti 20 tan.
“Selain itu, kita turut merampas 15 buah unit alat timbang pelantar iaitu satu unit untuk kapasiti satu tan, tiga unit untuk kapasiti 300 kilogram (kg), lapan unit untuk kapasiti 150kg serta tiga unit unit kapasiti 1kg,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azman, pihaknya turut merampas alat timbang sukat untuk kapasiti enam dan 12kg sebanyak 24 unit.
Menurut beliau, selain merampas alat timbang terbabit, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada keempat-empat premis terbabit yang keseluruhan berjumlah RM6,500.
“Kesemua 42 alat timbang yang dirampas ini telah dibawa ke stor KPDNHEP untuk tindakan lanjut,”ujarnya.
Azman berkata, tiga akan disiasat mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan dan boleh didenda RM4,000 atau tiga tahun penjara.
“Sementara itu, sebuah lagi premis iaitu kilang besi di siasat mengikut Seksyen 20(A)(1)(f) Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu satu kesalahan berkaitan pengecap alatan,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menggesa orang ramai supaya melaporkan sekiranya menjumpai atau mengesyaki mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan supaya tindakan lanjut boleh diambil dan mengelakkan kegiatan penipuan berleluasa. – K! ONLINE










