LONDON 1 Nov. – Frank Lampard menyifatkan dirinya sangat bertuah apabila diberi sambutan wira ketika kembali ke Stamford Bridge sebagai pengurus pasukan lawan.
Skuad kendaliannya, Derby County memberi tentangan hebat sebelum tewas 2-3 kepada Chelsea pada pusingan keempat Piala Liga hari ini.
Dua jaringan sendiri dalam tempoh 21 minit pertama menjadikan tugasnya semakin sukar, selain gol jarak dekat Cesc Fabregas di hujung babak pertama.
Meskipun terlepas peluang ke suku akhir, Lampard terharu apabila penyokong Blues memberi sorakan gemuruh kepadanya, empat tahun selepas meninggalkan kelab London itu.
“Terima kasih kepada penyokong Chelsea. Mereka tahu perasaan saya terhadap kelab.
“Saya melarikan diri menerusi pintu belakang selepas tamat perlawanan.
“Kekalahan ini sangat mengecewakan tetapi sekarang ini semua itu tidak penting.
“Tiada apa lagi yang tinggal buat saya di sini, selain kenangan indah. Dapat kembali semula ke sini dan diberi layanan seperti ini adalah sesuatu yang istimewa,” kata Lampard.
Begitupun di sebalik kepulangan penuh emosi, aksi tersebut turut dibayangi kontrovesi yang menyebabkan Lampard naik angin dengan keputusan pengadil.
Bekas bintang tengah Chelsea itu percaya, gol kemenangan Blues tidak sepatutnya dibenarkan selepas bek kanan tuan rumah, Davide Zappacosta menolak pemain sayap Derby, Tom Lawrence hingga jatuh sebelum dia menghantar bola untuk disempurnakan Fabregas.
“Ia jelas satu kesalahan. Mereka (pengadil) patut menggunakan VAR (teknologi video bantuan pengadil) jika tidak pasti,” katanya
Chelsea kini akan berdepan Bournemouth di suku akhir. – AGENSI











