KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik dilaporkan ‘sangat terancam’ kesan perang perdagangan global dan fahaman perlindungan yang semakin meningkat, menurut laporan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC).
Setiausaha Agung PECC, Eduardo Pedrosa berkata, kaji selidik yang dijalankan ke atas 529 pakar dasar serantau itu mendapati lima risiko utama pertumbuhan ekonomi serantau dalam tempoh dua hingga tiga tahun yang akan datang termasuklah fahaman perlindungan yang semakin meningkat dan perang perdagangan; kelembapan pertumbuhan perdagangan dunia; kelembapan ekonomi China; kurangnya kepimpinan politik dan rasuah.

Katanya, ekonomi rantau Asia Pasifik dijangka berkembang 3.7 peratus pada 2019, penyusutan ketara berbanding ramalan yang dibuat pada awal 2018.
Katanya, penyusutan tersebut adalah hasil daripada risiko seperti konflik perdagangan, harga komoditi yang lebih tinggi, kadar faedah yang meningkat dan pasaran modal yang tidak menentu.
“Kelembapan perdagangan dunia dan ekonomi China juga banyak dipertimbangkan oleh responden.
“Sebanyak 42.7 peratus daripada responden menjangkakan bahawa pertumbuhan ekonomi China akan menjadi lebih lemah pada tahun yang akan datang, namun begitu India (42.3 peratus daripada responden) dan Asia Tenggara (49.1 peratus) dijangka mempunyai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada tahun yang akan datang.
“Ini berbeza daripada pandangan responden terhadap ekonomi global dengan hanya 26.4 peratus menjangkakan pertumbuhan yang lebih kukuh pada tahun yang akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut laporan itu lagi, rantau Asia Tenggara dan Asia Timur masing-masing dijangka mengalami lebih banyak kehilangan pekerjaan berbanding mendapat pekerjaan menjelang 2030.
Katanya, pekerjaan dengan keperluan kemahiran yang lebih rendah kemungkinan besar paling terjejas dengan 64.1 peratus responden menjangkakan penurunan bilangan pekerja sokongan kerani menjelang 2030, diikuti oleh 59.1 peratus untuk operator loji dan mesin, 58 peratus untuk buruh perlombongan, pembinaan, pembuatan dan pengangkutan serta 56.5 peratus untuk perkhidmatan peribadi dan peranan jualan.
“Selain itu, peningkatan teknologi baharu dan populasi Asia Pasifik yang semakin tua, kekurangan pekerjaan yang terbesar dijangkakan dalam profesional sains dan kejuruteraan (59.2 peratus), pekerja penjagaan warga emas (56.3 peratus), profesional teknologi maklumat dan komunikasi (55.3 peratus),” katanya.











