INI bukan soal politik tetapi soal keharmonian negara, baik untuk umat Islam mahu pun bukan. Walaupun sudah sedekad diperingatkan tetapi gesaan dibuat umpama mencurah air di atas daun keladi, tidak memberi kesan.
Dua negeri di semenanjung iaitu Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan sehingga kini masih belum menggubal undang-undang yang mengawal atau menyekat pengembangan agama lain terhadap umat Islam.
Sedangkan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa ini kepada semua negeri dan Wilayah Persekutuan untuk menggubal enakmen bagi tujuan tersebut sebagai pelengkap kepada hak kebebasan beragama yang dijamin menerusi Perkara 11.
Natijahnya apabila tiada enakmen ini, kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, kegiatan menyebar kitab Bible kepada pelajar di Bukit Mertajam yang tular baru-baru ini bukanlah satu kesalahan di negeri itu dan tiada tindakan boleh diambil.
“Sedangkan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof (semalam) mengesahkan kebimbangan masyarakat Islam arus perdana bahawa memang wujud dakyah orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.
“Dan oleh kerana empat negeri ini belum ada undang-undang tersebut, tumpuan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam lebih kepada negeri berkenaan kerana tiada sebarang tindakan diambil,” tegasnya.
Dalam hal ini, umat Islam harus bersatu, Perlembagaan yang lebih 60 tahun berkuat kuasa sudah digubal cantik mengambil kira sejarah negara dengan hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 dapat menjaga kesucian agama Islam demi keharmonian semua.
Jadi pimpinan di empat negeri berkenaan harus bertindak segera menggubal undang-undang tersebut supaya tindakan boleh diambil bagi mereka yang cuba menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam.
“Di negeri lain juga dilakukan penyebaran tersebut tetapi dibuat dengan lebih rahsia,” ujar Zainul Rijal ketika diminta memberi contoh kesan adanya enakmen sekatan agama bukan Islam kepada orang Islam di negeri yang telah menggubalnya.
Apa pun kata Zainul Rijal, seorang peguam sivil dan syarie yang cukup dihormati itu, kuasa yang diberi Perkara 11 (4) kepada negeri-negeri itu baik kepada orang Islam dan bukan Islam.
“Jika penyebaran ini tidak dikekang, orang Islam akan berasa tidak selesa dan mungkin akan berlaku tidak keharmonian kaum,” kata Zainul Rijal sambil menggesa kerajaan negeri terlibat menggubal segera.-UTUSAN ONLINE










