Duo Legenda, paduan vokal dua biduan - Utusan Malaysia

Duo Legenda, paduan vokal dua biduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYEBUT dua nama figura seni tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir, fikiran lantas terbayang lagu berhantu hasil paduan suara antara mereka yang berjudul Ghazal Untuk Rabiah.

Biarpun sudah dicipta hampir 23 tahun lalu, lagu yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun 1997 itu tetap terus menyihir halwa telinga pendengar tanpa mengira lapisan umur.

Justeru, bakal menghipnotis peminat dengan paduan magis antara Jamal dan M. Nasir, sebuah konsert Duo Legenda akan dianjurkan bermula dari 21 hingga 23 Disember depan.

Dijadualkan berlangsung selama empat hari, konsert gemilang anjuran syarikat Shapadu tersebut bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Sudah lama saya mengimpikan untuk mengadakan konsert bersama M. Nasir, tetapi ia terpaksa ditangguh sekian lama kerana kepada kepadatan jadual seni beliau.

“Memang kami sering mengadakan persembahan bersama, tetapi untuk sebuah konsert berskala besar, ini merupakan pengalaman pertama yang membuatkan saya benar-benar teruja,” kata Jamal ketika ditemui pada sidang akhbar konsert berkenaan di Istana Budaya baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Raja Pop itu memberitahu, konsert berkenaan akan diiringi seramai 21 orang pemuzik profesional daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan dan diketuai oleh pengarah muzik, Raja Shah Raja Sari.

Lebih istimewa, terdapat satu malam khas pada tarikh 22 Disember yang dinamakan sebagai Malam VVIP. Pada malam berkenaan, terdapat satu segmen khas yang menampilkan kemunculan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Wanita pertama Malaysia itu bakal menggesek biola sambil diiringi sebuah lagu nyanyian Jamal dan M. Nasir.

“Tujuan utama Malam VVIP dengan segmen khas itu diadakan adalah untuk mengutip dana dan disalurkan kepada pihak yang kurang berkemampuan seperti rumah anak-anak yatim dan rumah kebajikan orang tua.

Persiapan

“Pada malam itu, kami akan menjemput mana-mana badan korporat yang sudi hadir menonton sambil menghulurkan bantuan. Saya sangat bersyukur kerana Tun begitu terbuka ketika pertama kali saya bertemu dan mengutarakan cadangan ini. Beliau akan datang bersama suami, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” terang Jamal lagi.

Bercerita soal persiapan mengadakan konsert pada usia 58 tahun, seperti biasa pelantun lagu Takdir Penentu Segala itu akan menjaga stamina dan kecergasan fizikal yang sememangnya menjadi rutin hariannya.

“Seperti sebelum ini, saya akan memastikan diri bersenam setiap hari dan diteruskan untuk persiapan konsert ini.

“Selama dua jam, saya dan M. Nasir akan mengendalikan konsert secara santai dan berborak mengenang nostalgia awal permulaan kerjaya seni kami,” jelasnya.

Sementara itu, pemegang ‘trofi’ ikon muzik tanah air, M. Nasir pula menyifatkan peluang mengadakan konsert Duo Legenda sebagai momen cukup istimewa kerana menggabungkan dua genre berbeza atas satu pentas.

“Saya kagum dengan kekuatan vokal Jamal. Biarpun dalam usia begini, beliau masih mampu bernyanyi dalam not yang tinggi. Saya menerima tawaran untuk mengadakan konsert ini kerana beliau ialah Raja Pop.

“Kami berdua sudah lebih 40 tahun dalam berada dalam industri. Kekuatan muzik Jamal yang lebih ke arah genre pop manakala saya pula berlatar belakang muzik Nusantara, rock dan pop pasti menjanjikan gandingan luar biasa,” ujarnya.

Selain gegaran daripada dua biduan ikonik itu, penyanyi berasal dari Australia, Cassidy Anderson juga akan dijemput bagi menyerikan konsert berkenaan. Cassidy akan menyanyikan lagu Dua Insan bersama M. Nasir dan Sandarkan Pada Kenangan bersama Jamal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN