ALOR SETAR – Dua maut manakala empat parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di simpang empat Ulu Sedaka menghala Pulau Bunting, Yan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, penumpang hadapan kereta Proton Persona, Nurizzatunhusna Mohd. Aminuddin Bakri, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream iaitu bayi perempuan berusia 11 bulan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Persona dari arah Guar Chempedak menghala Pulau Bunting dilanggar Honda Stream yang datang dari arah kiri di simpang empat tersebut.
“MPV Honda Stream dari arah Ulu Sedaka menghala Selengkoh itu tidak berhenti di persimpangan jalan yang mempunyai tanda berhenti.
“Akibat perlanggaran itu, Proton Persona telah berpusing dan Honda Stream terbalik seterusnya merempuh sebuah lagi kereta jenis Volkswagen Vento,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, penumpang hadapan Proton Persona tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang bayi perempuan dilaporkan turut meninggal dunia manakala empat orang terdiri daripada pemandu dan penumpang Proton Persona dan Honda Stream parah,” ujarnya. – K! ONLINE










