TEMERLOH – Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Kampung Rumpun Makmur di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu menyebabkan Salman Zakaria, 39, dari Felda Kota Gelanggi 3, Jerantut meninggal dunia di tempat nahas.
Menurut sumber, mangsa yang memandu kereta jenis Hyundai Getz dikatakan bertembung dengan sebuah Proton Waja sebaik tiba di Jalan Kampung Rumpun Makmur.
“Mangsa dari arah Jerantut ke tempat Kuala Krau dan meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan teruk di bahagian badan,” katanya kepada pemberita di sini.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, pemandu Proton Waja yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital sama. – K! ONLINE










