MELBOURNE 9 Nov. – Dua cedera, seorang maut ditikam seorang lelaki dalam satu serangan yang berlaku pagi tadi di Melbourne, Australia.
Dalam serangan di Jalan Bourke tersebut, lelaki berkenaan dilaporkan turut bertindak menyerang dua anggota polis yang cuba menahannya.

Menurut jurucakap polis, Superintendent David Clayton, tindakan lelaki itu menyebabkan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan yang mengenai dada penyerang berkenaan.
“Penyerang berkenaan kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di hospital di bawah pengawasan polis,” kata beliau kepada pemberita.
David memaklumkan, pada awalnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama skuad pemusnah bom selepas mendapat laporan mengenai kebakaran sebuah kenderaan di kawasan berkenaan.
Beliau dalam masa sama menafikan insiden tersebut ada kaitan dengan sebarang serangan pengganas.
Insiden berkenaan turut dirakamkan dan ditularkan oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu. – Rueters










