KOTA KINABALU – Tindakan 17 kru termasuk dua juragan bot kumpit dipercayai cuba menyeludup keluar minyak diesel sebanyak 13,400 liter dianggarkan bernilai RM29,212 membawa padah apabila mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu di perairan Pulau Sapi di sini semalam.
Kedua-dua bot kumpit asing itu ditahan ketika pasukan PPM Kota Kinabalu menjalankan Operasi Inter Agensi di sekitar kawasan laut tersebut pada pukul 10.15 pagi.
Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superitendan Abd. Nasir Othman berkata, penahanan dua buah bot kumpit itu adalah berdasarkan maklumat risikan oleh Unit Risik Marin (URM), PPM Kota Kinabalu yang mengesan bot suspek cuba menyeludup keluar minyak diesel.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot berkenaan membawa muatan sembilan tangki dan 22 tong minyak diesel sebanyak 13,400 liter.
“Selain itu, dua juragan bot juga gagal mengemukakan lesen dan surat pelepasan serta kebenaran daripada pihak Jabatan Kastam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Abd. Nasir, kesemua barang rampasan dan kru bot telah diringi ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – K! ONLINE











