KOTA BHARU 10 Nov. – Perdana Menteri menegur penjawat awam supaya berpegang kepada prinsip demokrasi dengan mengiktiraf kepemimpinan kerajaan yang menjadi pilihan rakyat.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekalipun mereka menyokong parti lain namun tugas sebagai penjawat awam perlu mengikut segala dasar yang ditetapkan oleh kepemimpinan sekarang.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi menjamin kelangsungan setiap perancangan kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negara.
“Saya sedar ramai yang masih setia dengan kerajaan Pusat yang lama bahkan dahulu jentera kerajaan juga diperalat pemerintah sehingga menjadi alat dan taksub kepada parti. Situasi itu sehingga menyebabkan penjawat awam tidak dapat memisahkan tugas untuk parti atau negara.
“Jadi, penjawat awam perlu mengutamakan tuntutan kerja sebagai anggota kerajaan yang berkhidmat pada negara tanpa mengira parti mana yang memerintah sekarang.
“Saya juga yakin setiap daripada kita memasang niat untuk bekerja dan menyumbang kepada negeri dan negara. Jadi, mereka mesti pegang kepada profesionalisme dan jangan menimbulkan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena perjumpaan dengan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan serta Negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad. – UTUSAN ONLINE










