TOKYO 6 Nov. – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dianugerahkan Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers daripada Maharaja Akihito dari Jepun.
Penganugerahan yang tertinggi dari Jepun itu diberi berdasarkan sumbangan besar Perdana Menteri dalam usahanya mengukuhkan hubungan dua hala.
Majlis penganugerahan itu berlangsung di Imperial Palace di sini pukul 9.45 pagi waktu tempatan (8.45 pagi waktu Malaysia).
Anugerah itu adalah pemberian tertinggi yang diberi kepada pemimpin luar terhadap hubungan dua hala antara negara-negara berkenaan dengan Jepun, di samping sumbangan mereka kepada rantau ini.
Dr. Mahathir ialah pemimpin ketiga dari Asia yang menerima anugerah berprestij ini selepas bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan bekas Perdana Menteri India, Manmohan Singh.
Beliau kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Jepun sejak Isnin. – BERNAMA










