Dr. Amalina sebar mesej positif - Utusan Malaysia

Dr. Amalina sebar mesej positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebelakangan ini, nama Dr. Nur Amalina Che Bakri atau Dr. Amalina menjadi sebutan pengguna media sosial susulan kerajinan wanita peramah itu melayan kerenah warganet yang berminat mengetahui perkembangan dirinya.

Selain itu, dia juga sering berkongsi kisah harian sepanjang menjalani latihan pakar bedah dan sesekali bersoal jawab berkaitan perubatan melalui akaun Instagram, membuatkan wanita kelahiran Kota Bharu tetapi membesar di Johor itu, menjadi idola sebilangan anak muda.

Namun, populariti tersebut pada awalnya mengejutkan dirinya sendiri apabila sesekali menjadi sasaran buli siber, meskipun dia hanya memanfaatkan sepenuhnya teknologi itu untuk berkongsi ilmu.

Di sebalik pujian dan sokongan, ada juga yang gemarkan cerita sensasi, sentiasa mencari silap, mengecam bahkan menilai dirinya secara negatif.

Namun, dia mengambil pendekatan untuk mengabaikan sahaja kerana tahu tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang, sebaliknya bertekad untuk terus menjadi diri sendiri tanpa mengikut telunjuk sesiapa.

Tidak mudah melatah, Dr. Amalina memilih untuk bangkit daripada segala tohmahan dan menggunakan populariti yang diraih ke arah kebaikan setelah menyedari impak positif yang boleh disampaikan dalam kalangan ribuan pengikutnya.

“Saya mahu melakukan sedaya yang mampu untuk sebarkan mesej positif kepada pengikut media sosial dan memberi perangsang kepada yang memerlukan terutama golongan pelajar.

“Media sosial seperti Instagram tidak sepatutnya terhad kepada fesyen dan aktiviti pelancongan semata-mata. Seperti yang anda lihat, saya juga gemar berkongsi maklumat tentang perubatan serta mengajar pelajar perubatan melalui Instagram dan Twitter.

“Walaupun saya tinggal di London, itulah cara saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di Malaysia. Saya berharap saya boleh memberi inspirasi kepada anak muda di tanah air untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kerjaya, selain mendidik dan mewujudkan kesedaran kesihatan kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi menerusi e-mel baru-baru ini.

Hampir separuh daripada usianya berkelana di negara orang telah menjadikan siapa dirinya pada hari ini.

Dia belajar banyak perkara sepanjang tempoh itu, sekali gus menjadikan dirinya lebih kuat dalam berhadapan dengan apa-apa isu, bahkan kejayaan demi kejayaan dilakar.

Menerusi akaun Twitter @DrAmalinaBakri, dia mempunyai 271,000 pengikut, manakala akaun Instagram dengan nama sama menarik 291,000 pengikut setakat ini.

Wanita bertubuh langsing ini, menggerakkan kempen Independent Women Campaign (IWC), sebagai inisiatif memperkasa wanita mengejar impian hidup dan lebih berdikari terutama apabila berdepan pelbagai isu termasuk diskriminasi gender.

Selain itu, dia turut lantang menyokong kempen I Look Like A Surgeon, bagi memecahkan persepsi stereotaip bahawa hanya lelaki layak menjadi pakar bedah.

Tiada noktah mengejar ilmu perubatan

Menjalani latihan untuk bergelar perunding pembedahan, bagi Dr. Amalina sangat mencabar secara fizikal, mental dan emosi.

Terpaksa bekerja dalam tempoh yang lama tidak mengira siang dan malam, memenuhi jadual syif bekerja on call, malah memantau doktor junior, membuat penyelidikan, mengambil peperiksaan serta mengajar, semua itu bagaikan tiada titik pengakhiran.

“Kadangkala saya bertanya pada diri sendiri, kenapa saya melakukan semua ini sedangkan saya boleh melakukan pekerjaan yang lebih glamor dengan keseimbangan kerjaya yang lebih baik, mungkin lebih banyak wang yang boleh saya peroleh?

“Namun, saya tahu matlamat akhir saya bukan terletak pada wang ringgit tetapi pada kepuasan bekerja dan apa yang saya boleh lakukan untuk menyumbang kepada dunia.

“Apabila menceburi dunia kedoktoran dan melakukan penyelidikan perubatan, saya bukan sahaja mendapat ilmu untuk diri saya sendiri, bahkan boleh digunakan untuk membantu masyarakat umum tidak kira di mana pun saya berada.

“Bagi saya, pengetahuan yang dimiliki amat penting berbanding kemasyhuran dan wang yang boleh hilang begitu sahaja. Pengalaman untuk mendapatkan ilmu yang berterusan adalah apa yang diperlukan untuk menjadikan anda seorang manusia yang lebih baik,” katanya.

Memahami apa yang dilalui oleh rakan-rakan sekerja di Malaysia yang terbeban dengan situasi kerja yang memenatkan ditambah pula dengan bilangan pesakit semakin ramai membuatkan ramai doktor muda menarik diri, Dr. Amalina menyarankan agar mereka mendapatkan bantuan terlebih dahulu untuk menangani tekanan diri.

Katanya, tidak kira betapa sukar kerjaya tersebut, mereka masih seorang manusia yang tidak terlepas dari bebanan emosi dan fizikal.

Jadi, setiap doktor baharu perlu mempelajari bagaimana untuk mengutamakan kerjaya, paling penting keadaan diri mereka selamat untuk merawat pesakit dengan mengelakkan diri dari kepenatan, tertekan dan mengantuk.

Apa yang diamalkannya ketika pada tahun pertama bergelar doktor, dia akan memastikan datang bekerja lebih awal daripada pegawai atasan supaya boleh menyediakan senarai untuk pusingan wad dan mengetahui dengan lebih awal keputusan darah pesakit.

“Kadang-kadang, senior anda mungkin marah kerana tidak melakukan kerja rumah atau tidak menyediakan kes-kes anda, itu tidak bermakna mereka boleh membuli anda, tetapi lakukan sahaja yang terbaik,” katanya.

Fesyen, kecantikan, kickboxing

Walaupun sibuk sebagai doktor dan tenaga pengajar, Dr. Amalina tidak menafikan dirinya amat gemar bergaya dan sentiasa menjaga penampilan dirinya.

Kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap dunia fesyen, warganet menggelarnya sebagai fashionista kerana kerap memuat naik gambar pakaian hariannya (OOTD) dan sesekali memaklumkan jenama terkenal bagi baju, beg dan kasut yang digayakan.

Pernah memuat naik sekeping gambar dalam media sosial dirinya menggayakan sepasang cermin mata berjenama Chanel dan mengenakan solekan nipis daripada jenama MAC dengan kapsyen gurauan “masih perlu kelihatan glamor semasa melakukan pembedahan” membuktikan bahawa dia mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi, meskipun berada di lapangan kerja. 

Sungguhpun begitu, dia masih menjaga batasan sebagai seorang doktor dan bersikap profesional apabila mengendalikan pesakit terutama ketika berada di bilik pembedahan.

Percaya pada kata-kata,  work hard, play harder, setelah menjalani kehidupan yang sibuk sebagai seorang pakar bedah, dia sendiri memerlukan waktu rehat dan mahu memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan melakukan aktiviti yang digemari. 

Sebagai pakar bedah pelatih di bahagian surgikal dan trauma, dia menggalas tanggungjawab besar termasuk memantau beberapa doktor pelatih, tugasan di bilik bedah dan klinik, on call dan mengajar di kolej.

“Ketika berada di tahun pertama bergelar doktor, saya terlalu fokus dengan kerja hingga mengabaikan diri, tidak menjaga makan dan minum lalu jatuh sakit hingga dimasukkan ke wad selama beberapa hari kerana penyakit batu karang.

“Saya juga pernah pengsan ketika bekerja kerana keletihan. Jadi, saya belajar daripada kesilapan itu, dengan mengimbangi kerja, belajar, hobi dan bercuti supaya tiada tekanan,” katanya yang boleh berbahasa Inggeris, Itali, Sepanyol dan Perancis.

Bagi meredakan tekanan Dr. Amalina akan meluangkan masa di gimnasium, menghadiri acara fesyen, bercuti atau berehat sahaja di rumah.  

Menjalani kehidupan yang sihat sentiasa menjadi keutamaannya, dengan bersenam tiga hingga empat kali seminggu, serta melakukan aktiviti kickboxing atau yoga sekali seminggu selain meluangkan masa berjoging di sepanjang Sungai Thames.

“Saya mengamalkan diet pemakanan yang seimbang dengan mengambil banyak buah dan sayur, serta minum dua hingga tiga liter sehari tanpa pengambilan sebarang makanan tambahan.

“Selain itu, saya juga mengamalkan regimen penjagaan kulit dan hanya menggunakan produk-produk kecantikan yang diluluskan ahli dermatologi,” katanya.

Walaupun berjauhan dengan ibunya, Sabariah Hassan, bagi Dr. Amalina, ibu adalah segala-galanya, malah menjadi pemangkin kepada setiap kejayaan yang dikecapi hari ini.

Begitu menyanjungi pengorbanan ibunya, yang  menjadi sumber motivasi dan mendorongnya untuk memasang impian bergelar doktor pakar.

Namun, jadual kerja yang padat menyebabkan dia jarang berpeluang untuk balik ke tanah air.  
Untuk itu, ibunya yang akan datang menziarah setahun sekali terutama pada Hari Raya Aidilfitri bagi saling melepas rindu.

“Walau kami berjauhan, ibu umpama berada di depan mata kerana hampir setiap hari kami berinteraksi menerusi perbualan video atau pesanan ringkas. Bersyukur kepada teknologi yang  menjadikan hubungan kami anak-beranak kekal era, bak kata pepatah, jauh di mata dekat di hati,” katanya.

Gambar ihsan : Annas Easkey, Simon Maynard, Ajay Mittal dan Instagram @DRamalinabakri

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN