KUALA KANGSAR 4 Nov. – Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis penuh istiadat diraja di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Majlis pemasyhuran itu ialah bagi gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak.
Istiadat pemasyuran itu mengikut Fasal 38 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Kedua dengan nasihat Dewan Negara Perak.Berangkat sama pada majlis istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.
Afifi yang merupakan Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017 itu antara 285 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disambut pada Jumaat lalu.
Pada majlis istiadat pengurniaan hari ini, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri di samping seorang lagi penerima iaitu Pro Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Dr. Aishah Ong.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 14 tokoh iaitu Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabra; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin; Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr. Ding Lay Ling; Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rumaizi Baharin@MdDaud; Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Ahameed Tarmizi Ramli serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perak, Dr. Ahmad Anuar Othman.
Penerima lain yang menerima DPMP ialah Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Prof Madya Datuk Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin; Setiausaha Sulit kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Mohd. Rasid Hussin Shah; Mursyidul Am Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Ahmad Awang; Jeffri Salim Davidson, Ho Kay Tat, Goh Seng Kuang, Datuk Shahriman Shamsuddin dan Sinnathamby Senathi Rajah.
Baginda turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada dua penerima iaitu Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Chapiti Redzwan dan Ketua Cawangan Khas, Maktab Polis Diraja Malaysia, Senior Asisten Komisioner Sum Chang Keong.-UTUSAN ONLINE










