DORTMUND 24 Nov. – Borussia Dortmund berjaya mendapatkan khidmat Paco Alcacer dari Barcelona secara tetap dengan nilai perpindahan 22.7 juta pound (RM122.17 juta) selepas beraksi cemerlang bersama kelab Jerman itu.
Pemain Sepanyol berusia 25 tahun itu dipinjaman untuk jangka panjang pada Ogos lalu dengan pilihan perpindahan secara tetap dan bekas pemain Valencia itu berjaya meledak sembilan gol dalam lapan perlawanan.

Berdasarkan perpindahan itu, Alcacer akan bersama pendahulu Bundesliga itu sehingga Jun 2023.
“Hari ini kami menyatakan hasrat kami kepada Barcelona untuk mendapatkannya secara tetap.
“Paco cemerlang bersama Dortmund dan dia berjaya menyesuaikan diri dalam masa singkat. Saya percaya Paco akan cergas sepenuhnya bersama kami,” kata Michael Zorc, Pengarah Sukan Dortmund dalam satu kenyataan.
Alcacer percaya perpindahan itu adalah sesuatu yang tepat buat dirinya dan percaya dia mampu memberikan sumbangan besar kepada mereka.
“Saya sangat gembira di Dortmund. Saya yakin ini adalah keputusan tepat dan akan membalas kepercayaan dengan prestasi dan jaringan.” katanya. – AGENSI











