KUALA LUMPUR 14 Nov. – Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mempunyai masa 60 hari mengemukakan bukti dan dokumen penglibatan bekas pegawai Bank Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau Roger Ng, 51, dalam skandal 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, dalam tempoh tersebut keputusan sama ada untuk mengekstradisi Roger Ng ke AS akan diambil.
“Keputusan untuk membebaskan atau mengekstradisi Roger Ng akan diputuskan oleh mahkamah selepas bukti dikemukakan dalam tempoh tersebut.
“Jika tiada sebarang keputusan selama tempoh 60 hari itu, kami akan menunggu tindakan lanjut dari mahkamah,” katanya selepas merasmikan Balai Polis Sri Hartamas di sini, hari ini.
Terdahulu, Roger Ng telah ditahan pada 1 November lalu berdasarkan waran tangkap yang dipohon oleh kerajaan AS.
Difahamkan, pendakwaan DoJ terhadap Roger Ng membabitkan konspirasi pengubahan wang haram milik 1MDB serta menipu pihak berkuasa AS bagi tujuan melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing atau Foreign Corrupt Practices Act (FCPA). -UTUSAN ONLINE










