KUALA TERENGGANU 5 Nov. -Pertubuhan Khairul Ummah dengan kerjasama KT Care menganjurkan Dialog Wanita Sejahtera (Dalam Konteks Islam Memimpin) di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman di sini, petang semalam.
Program yang disertai kira-kira 200 peserta mewakili 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bertujuan memberi maklumat tentang gejala yang menyelubungi suasana kehidupan semasa dalam masyarakat yang perlu ditangani melalui peranan bersama.
Pengisian dialog dimulakan dengan pembentangan oleh wakil Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Nurisma Khairuddin dan Ketua Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Hawa Embong.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika merasmikan program itu berkata, golongan wanita dilihat mampu memainkan peranan berkesan dalam memberi kesedaran tentang tanggungjawab memelihara kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Katanya, wanita sebagai ibu dan isteri dengan sifat lemah lembut dan penyayang, dapat memberikan nasihat, didikan dan bimbingan yang lebih berkesan dalam mewujudkan gelombang kesedaran terutama dalam pembangunan insan.
Wan Sukairi berharap mereka yang mendapat ilmu dan maklumat hasil dialog supaya dapat sampaikan apa yang diperolehi kepada ahli-ahli di semua peringkat agar dapat menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara bersama mengikut landas agama.
“Slogan kerajaan negeri iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera mempunyai tiga elemen yang berasingan tetapi berkait rapat antara satu sama lain termasuk dalam aspek kekeluargaan.
” Oleh itu kemajuan yang diimpikan seiring dengan keberkatan yang Allah berikan tetapi kalau tidak seiring dengan keberkatan akan dapat musibah dan bukannya kesejahteraan,”ujarnya.- UTUSAN ONLINE










