PARIS – Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Angel Di Maria sah melanjutkan kontraknya untuk tempoh tiga tahun lagi, sekali gus kekal beraksi di Parc des Princes.
Pemain skuad kebangsaan Argentina tersebut kini menjadi tonggak utama pasukan sejak berhijrah dari Manchester United pada 2015.
Kini pemain berusia 30 tahun tersebut akan terus beraksi di Ligue 1 sehingga 30 Jun 2021 ketika umurnya menjangkau 33 tahun.
“Saya sangat gembira apabila dapat melanjutkan kontrak di PSG sehingga 2021.
“Saya sukakan pengalaman selepas tiga tahun berada di sini yang mana kini saya telah mempunyai segalanya untuk bermain dengan lebih baik. Setiap hari saya rasa sangat dihormati apabila menjadi sebahagian daripada setiap perancangan pasukan.
“Masih banyak perkara yang perlu dicapai di sini bersama pemain lain untuk menjadikan PSG sebagai sebuah pasukan gergasi di peringkat antarabangsa.
“Sokongan daripada semua yang sayangkan pasukan telah memberikan kami beraksi di luar kemampuan. Kini kami bersama-sama untuk berdepan cabaran baharu dan percaya sesuatu yang lebih baik akan hadir selepas ini,” kata Di Maria. – Agensi










