Denda merokok di restoran selepas enam bulan - Utusan Malaysia

Denda merokok di restoran selepas enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR 5 Nov. – Kementerian Kesihatan tidak akan mengeluarkan saman terhadap pelanggan yang merokok di restoran terbuka dalam tempoh enam bulan sebaik sahaja pelaksanaan larangan merokok di kawasan tersebut berkuat kuasa 1 Januari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, sebaliknya dalam tempoh berkenaan, perokok yang melakukan perbuatan tersebut akan dikenakan amaran bagi tujuan mendidik.

Menurutnya, langkah tersebut juga untuk membuktikan bahawa motif kementerian melaksanakan peraturan berkenaan bukannya bertujuan untuk menghukum sebaliknya untuk mengurangkan tabiat merokok.

“Dalam tempoh enam bulan tersebut perokok hanya akan diberikan amaran lisan jika mereka merokok di restoran terbuka, namum jika mereka masih berdegil dan meneruskan perbuatan tersebut, mereka akan didenda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Klinik Kesihatan Malim Nawar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari tahun depan.

Langkah itu merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Pada masa sama, Boon Chye menggesa pemilik restoran untuk memaparkan papan tanda dan pemberitahuan larangan merokok di premis perniagaan masing-masing.

“Pemilik restoran juga diminta tidak meletakkan tempat abu rokok di premis mereka bagi mengelakkan didenda jika terdapat pelanggan yang merokok,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN