KUALA LUMPUR 1 Nov. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan untuk menurunkan sebanyak 250 paparan iklan haram atau tidak berlesen di 11 buah parlimen di ibu negara.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, operasi tersebut melibatkan iklan-iklan yang dipaparkan menerusi papan iklan (billboard), jejambat dan jejantas jalan raya.
Jelasnya, sejak Januari lalu DBKL telah menurunkan sebanyak 30 iklan tidak berlesen.
“Bukan mudah untuk menurunkan iklan berkenaan kerana ia memerlukan masa bergantung kepada saiz iklan.
“DBKL terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk menurunkan iklan kerana perlu menyediakan kren, alatan dan lori,” katanya kepada pemberita ketika Operasi Paparan Iklan Tanpa Lesen di sini hari ini.
Menurut Azman, mana-mana syarikat yang tidak memohon lesen papan iklan daripada DBKL akan dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan boleh didenda maksimum RM2,000. – UTUSAN ONLINE











